Bahana Hadis Palsu!

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.
( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Hadis palsu adalah hadis yang direka atau diadakan-adakan, sedangkan ia tidak berasal daripada Rasulullah SAW. Banyak hadis rekaan ini dibaca oleh para penceramah yang jahil. Sehingga acapkali ‘ustazah tv’ yang sering membaca hadis-hadis jenis ini untuk hidangan penonton.

Mungkin ada pembaca hadis palsu merasakan mereka tidak bersalah, sebab mereka hanya memetik daripada buku-buku mereka baca yang memuatkan hadis-hadis palsu. Maka mereka merasakan mereka hanya menyebarkan, maka tidak patut dipersalahkan. Mereka lupa penyebar hadis palsu sama ada menerusi ucapan atau tulisan, dia dalam masa yang sama sebenarnya menipu orang lain apabila menyandar sesuatu perkara kepada Nabi SAW tanpa bukti yang sah. Pendengar akan terpedaya lalu mengamalkan perkara yang dianggapnya daripada Nabi SAW, sedang ia bukan seperti yang disangkakan.

Al-Imam Ibn Hibban (w. 354H) dalam kitab sahihnya meletakkan satu pasal yang beliau namakan:

Pasal menyebut ketetapan memasuki neraka untuk sesiapa yang menyandarkan sesuatu kepada al-Mustafa (Nabi Muhammad) SAW, sedangkan dia tidak tahu mengenai kesahihannya (Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, 1/210).

Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah :

Tidak halal meriwayatkan hadis palsu dalam apa perkara sekali pun, melainkan bersama keterangan tentang kepalsuannya. Ini sama ada berkaitan halal dan haram, atau fadail (kelebihan-kelebihan amalan), atau al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat) dan al-targhib (menggalakkan ibadah), atau kisah, atau sejarah atau selainnya.

Sesiapa yang meriwayatkan tanpa keterangan bererti telah melakukan dosa yang besar dan termasuk dalam senarai pendusta. Ini berasaskan apa yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam mukadimah sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menyebut hadis daripadaku sedangkan dia menyangka ia dusta, maka dia termasuk salah seorang pendusta”.

Ramai ulama hadis telah menghukum dengan ta‘zir (denda) dan takdib (hukuman membetulkan akhlak) ke atas sesiapa yang meriwayatkan hadis palsu tanpa diterangkan kepalsuannya. Kata Abu ‘Abbas al-Sarraj: Aku melihat diberikan kepada Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari surat Ibn Karram yang bertanyakan beberapa hadis, antaranya: hadis daripada al-Zuhri, daripada Salim, daripada ayahnya – disandarkan kepada Rasulullah (Iman itu tidak bertambah dan tidak berkurang).

Maka al-Imam al-Bukhari menulis di atas surat tersebut: Sesiapa yang menyebut hadis ini maka wajib dipukul dengan keras dan dipenjara dalam tempoh yang lama. Bahkan di kalangan ulama ada yang menghalalkan darahnya.
Maka, ketika disebutkan hadis (palsu) Suwaid al-Anbari :
(Sesiapa yang jatuh cinta, lalu dia menahan diri dan menyembunyikannya, kemudian mati, maka dia mati syahid).
Lalu Yahya bin Ma‘in berkata : “Darah orang ini halal”. (boleh dihukum bunuh)

Ketika ditanya Ibn Hajar al-Haithami mengenai seorang khatib yang menaiki mimbar setiap Jumaat dan meriwayatkan hadis-hadis tanpa diterangkan sumber dan kedudukannya, maka jawabnya: “Hadis-hadis yang dia sebut tanpa menerangkan perawi dan siapa yang menyebutnya, harus dengan syarat dia seorang yang mempunyai ilmu dalam hadis, atau dia memetik daripada kitab yang penulisnya ahli hadis. Adapun jika dia hanya bergantung kepada kitab atau ucapan yang penulisnya bukan ahli hadis, maka tidak halal (berbuat demikian).

Sesiapa yang melakukannya dita‘zirkan dengan keras. Inilah keadaan kebanyakan khatib.
Mereka semata-mata hanya melihat khutbah yang mengandungi hadis-hadis, lalu mereka hafal. Mereka berkhutbah menggunakan hadis-hadis tersebut tanpa mengetahui asal-usulnya.
Maka wajib ke atas pemerintah di setiap negeri menghalang para khatib dari berbuat demikian.

[ Abu Syahbah, al- Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 321-322 ]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: